Belajar memakai hijab

Dengan nikmat tangan menulis itu mudah.
Dengan nikmat mulut bercakap itu juga mudah.

Tetapi menulis tentang apa? Bercakap tentang apa?

Berjuta jenis penulisan boleh didapati di alam maya : tentang diri, makanan, perjalanan, pakaian dan sebagainya. Tetapi penulisan yang sering diikuti adalah blog yang menceritakan perihal diri. Kerana manusia rata-rata memang suka menjaga tepi kain orang. Dan sebahagian manusia lain pula suka menarik perhatian dengan menulis tentang diri dan perjalanan hidup seharian mereka.

Pernah ada 'seseorang' yang berziarah ke Moscow yang memesan agar perjalanan hidup itu dirakamkan. Kerana pengalaman adalah guru terbaik yang membina diri. Jatuh dan bangun. Sedih dan gembira. Susah dan senang. Asam garam hidup yang mematangkan diri.

Tetapi perasaan, emosi, tingkah laku dan kata-kata yang dilakukan sebagai respon menghadapi sesuatu situasi menggambarkan jelas kepada dunia siapa diri kita. Maka hilanglah misteri perempuan di situ. Umum akan mengetahui pemikirannya, perangainya, kesukaannya, perjalanan hidupnya. Seperti tiada hijab antara sang penulis dan sang pembaca. Facebook, Twitter,etc menjadikan ekspresi diri lebih mudah, dan kemudian diikuti menunggu-nunggu respon masyarakat sekeliling akan status-status yang terpapar. (dan kadang-kadang sering bertukar berkali-kali saban hari)

Kerana selama ini keterhijaban yang sering diawasi berbentuk fizikal dan nyata. Menjaga suara, percakapan, tingkah laku, pakaian. Di hadapan komputer, suara tidak dapat didengar, tingkah laku tidak dapat dilihat begitu juga pakaian. Bebas untuk berkata-kata. Tetapi harus diingat, penulisan juga boleh ditafsir. Apakah dia sedang marah, gembira, sedih.

Jadi, apa guideline nya? Tiada jawapan tochna (tepat).
Allahualam.
Tapi mungkin boleh didasarkan kepada sifat malu.
Malu seolah-olah berada di khalayak ramai.
Kerana jelas sekali penulisan itu akan dihadapkan ke khalayak ramai.
Lebih baik sekiranya malu itu didasarkan kepada malu kepada Allah.
Kerana ketika duduk seorang diri dihadapan komputer, tetap ada Allah yang memerhatikan.
Allah itu dekat.

-mengingatkan diri sebelum mengingatkan orang lain-

yang sedang belajar memakai hijab.

Comments

faizal said…
incidentally found your blog when searched for kareem salam's song generous peace..what u said is true..dok cerita bnyak sangat tentang diri kita kat internet, takut2 terbuka banyak perkara kpd khayalak ramai..