Kapal layar : Sebuah tadabur alam


Salam wbt.

Bismillah.

Pantai dan laut. Antara tempat yang diminati untuk dilawati tiap kali pulang ke tanah air. Ada banyak bangunan dan tempat yang kita lawati setiap kali bercuti. Tapi untuk saya, terbukti setiap kali, berinteraksi dengan alam itu yang paling diminati.

Minda terbawa jauh kepada jaulah di bumi andalusia, Spain dan Portugal cuti musim sejuk lepas. Setelah berhari-hari menghadap bangunan yang hebat seperti Masjid Besar Cordova dan Al-Hambra, ternyata hati kami paling gembiiiiraaa sekali ketika melihat hidupan laut yang pelbagai di Oceanarium dan ketika menghirup udara segar cliff yang curam di Cabo da Roca, the westernmost end of Europe.

[kredit]
Berinteraksi dengan alam. Dan kini kaki ini berada di pantai. Ditemani air laut yang sentiasa menjadi teman setia si pantai. 

Beberapa catamaran sedang berlayar di lautan. Membelah air laut yang tenang. Layarnya tegak menentang sang angin. Sesekali sang pengemudi menukar arah layar mengikut rentak tiupan angin.

Teringat kepada sepotong kata-kata. Tak ingat di mana mendengarnya. 

"Manusia ibarat pengemudi kapal. Kita tidak boleh mengubah arah angin. Tapi kita boleh mengawal layarnya"

Cabaran hidup. Datang dari pelbagai arah. Dan datang dengan pelbagai bentuk. Ada orang diuji dengan kelaparan. Ada orang diuji dengan kekayaan. Ada orang diuji dengan PERANGAI orang.

Dan datangnya bukan diminta. Apatah lagi boleh dikawal.

Tapi yang pasti kita boleh mengawal reaksi kita, respon kita, tindakan kita keatas segala cabaran yang dIhidang.

Seorang pengemudi kapal. Tujuan akhirnya adalah ke pelabuhan/jeti yang tertentu. Maka mengharungi lautan itu satu kemestian baginya. Tanpa angin, tidak bergeraklah sebuah kapal layar. Namun angin itu jugalah yang menjadi sebuah cabaran apabila ia berubah arah, ditambah pula jika kelajuannya tinggi. 

Mampukah si pengemudi melawan kuasa Tuhan yang meniupkan angin tersebut? 
Namun Tuhan itu jugalah yang memberi ilham, hikmah dan kebijaksanaan untuk si pengemudi agar mampu mengawal layarnya. 

Seorang manusia yang bijak akan terlebih dahulu mempelajari ilmu mengemudi kapal layar sebelum turun ke laut. Ketika mengharungi lautan, dia tidak akan marah pada sang angin yang berubah arah. Ya, dia akan kecewa, dia akan geram! Tapi dia tidak akan mengoyak layarnya, tidak akan menterbalikkan kapalnya, apatah lagi terjun ke dalam laut. Dia akan bijak untuk mengubah arah layar, atau dia akan bijak untuk menurunkan layar sebentar. Statik sebentar di atas laut, sementara menunggu sang angin meredakan lajunya.

Mengharungi hari demi hari dalam hidup, selalu kita akan berjumpa situasi yang pelik. Tak semena-mena kita dimarahi. Walau kita tak buat salah apa pun. Tak sangka-sangka kita kecelakaan. Walau kita dah berhati-hati sangat. Tak pernah diduga akan jatuh dengan teruk. Apabila kita menyangka asas kita kukuh dan kita sudah melangkah penuh yakin. 

Tapi kita kena bijak untuk terlebih dahulu mempelajari ilmu menghadapi situasi yang pelbagai itu. 
Sabar. 
Tenang. 
Kembali pada Tuhan. 
Ambil masa untuk bernafas. Agar otak penuh bertenaga untuk berfikir.
Bertanya pada yang arif. 
Semua itu Allah dah ajar di dalam Al-Quran. Dan diteladankan melalui Nabi Muhammad SAW.

Dan kita sendirilah yang perlu belajar untuk mengaplikasikannya di dalam detik-detik seharian. 

Dan itulah sebenarnya yang paling susah. Kan? Haihhh~
Kerana bila musibah menimpa, melatah yang mendahului. 
Melatah dalam kata-kata, melatah dalam perbuatan, melatah dalam tindak balas.
Bukannya sabar yang didahului.
Bukan ketenangan yang didahului.
Bukan kembali pada tuhan yang didahului.
Bukan.

Maka jadilah dia manusia yang tidak pandai mengemudi.

Dan habislah kapal yang disalahkan. Tiang disalahkan. Air laut yang disalahkan. Angin yang disalahkan. Paling teruk, apabila si ikan di laut juga disalahkan. Bukan kita tak biasa mendengar orang mengungkit dan mengaitkan yang entah apa-apa apabila musibah menimpa.

Maka, marilah kita bertindak bijak dan mari menjadi pengemudi yang baik.
Pengemudi di lautan hidup yang sementara.
Kerana insyaAllah Jannah yang ditujui itu akan kekal selamanya :)

[kredit]









Comments