Permainan

23 : 115 - Maka apakah kamu mengira 
bahawa Kami menciptakan kamu main-main 
(tanpa ada maksud) dan bahawa 
kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Satu ayat persoalan yang mudah tapi sangat besar maknanya jika benar-benar difikirkan.

Allah mentarbiyah kita dengan pelbagai cara, dan salah satunya adalah dengan menyuruh kita menggunakan akal untuk berfikir. Cuba lihat saja betapa banyak ayat al-Quran yang berbentuk soalan? Betapa banyak ayat yang dimulai dengan kalimah ' tidakkah kamu berfikir'? Betapa banyak ayat yang bermula dengan sumpah; yang dengannya Allah mengajak kita berfikir akan kebesaran perkara yang Allah bersumpah dengannya? 

Kerana proses berfikir tidak akan berhenti. Allah mahu untuk kita belajar dan terus belajar. Sebab itulah tarbiyah adalah satu proses yang tidak akan berhenti sampai ke hujung hayat sekalipun.

Saya juga masih belajar dan terus belajar. 
Harus belajar menjadi seorang isteri.
Harus belajar untuk menjadi seorang anak yang taat kepada ibu bapanya kendatipun sudah mempunyai suami.
Dan saya sendiri bukanlah mempunyai satu set ibu bapa. Alhamdulillah Allah kurniakan dua ibu dan satu bapa untuk ditaati, sebagai medan meraih lebih banyak pahala berbanding orang lain. (dan sebaliknya juga, medan meraih lebih banyak dosa berbanding orang lain, nauzubillah)
Dan kini harus juga belajar menjadi menantu kepada ibu bapa suami.
Dan yang turut sama penting belajar untuk terus membaiki diri dan istiqamah dalam jalan dakwah dan tarbiyah di Malaysia. (ini yang paling susah, fuhh)
Dan tidak lupa belajar untuk menjadi doktor yang selamat dan baik untuk ummah.
Untuk membahagikan masa dan perhatian untuk semua di atas bukan mudah buat saya, tapi insyaAllah saya akan terus belajar.

Dan dalam proses pembelajaran itu, saya terus dan terus juga melakukan kesilapan. Banyak hati-hati yang tersakiti dek perbuatan diri ini. Kekecewaan terhadap diri sendiri bertambah-tambah. Tapi terus mengingatkan diri bahawa tiada manusia yang dilahirkan dengan zero-error. Maka, kita harus bangkit dan terus bangkit setelah jatuh berkali-kali.

Satu peringatan yang cukup berkesan buat saya adalah : there is no dicotomy in life. Semuanya adalah satu. Bila kita mula membahagi-bahagi diri kepada pelbagai tanggungjawab ini, maka kita akan mudah untuk terjebak dalam melebihkan satu hal berbanding yang lain. Bila di rumah, kita hanya melebihkan soal kita sebagai isteri, dan lupa akan tanggungjawab sebagai anak, ahli masyarakat dan sebagainya. Tetapi jika kita merasa semua tanggungjawab itu sebagai satu, maka pada satu-satu masa, kita adalah isteri, dan kita juga adalah anak, jiran, ahli masyarakat, menantu, rakan, murabbi, mutarabbi, etc.

Kita tidak diciptakan main-main

Ya, kita tidak diciptakan main-main. Untuk apa kita diciptakan, tidak perlu difikirkan jauh-jauh lagi kerana jawapannya sudah ada di dalam kitab Allah Al-Quran Al-Karim. Untuk menjadi abid dan khalifatullah. Yang menjadi persoalannya, adalah bagaimanakah kita betul-betul memaknai tugas itu. Bagaimana kita menggembleng segala potensi diri ke arah menjadi abid dan khalifah Allah yang terbaik. 

Setelah pulang dari Russia, saya disibukkan dengan persiapan perkahwinan. Walaupun majlis nya ringkas, rupa-rupanya persiapan yang kecil-kecil itu turut memakan masa. Ingat lagi, adik, abang dan saya dari pagi ke petang menghadap door gift.. dan itupun memakan masa berhari-hari. Jadi minda dipenuhi dengan perkara tersebut. Masih 'boleh' lagi beralasan sibuk dengan persiapan walimah. Kini setelah berbaitul muslim, dan dengan takdir Allah belum memasuki alam pekerjaan, diri rasa kurang dibebani tanggungjawab. Menyebabkan hari-hari dipenuhi dengan persoalan tentang tujuan hidup dan living up to my potentials so that I can serve the ummah. Apakah visi dan misi berbaitul muslim? Bagaimanakah dengan berbaitul muslim, diri ini menjadi lebih baik dan menyumbang dengan lebih banyak? 

Semua itu harus difikirkan dengan baik-baik, kerana kita tidak diciptakan main-main. 

Comments