Bismillah.
Alhamdulillah hari ini hari ke-30 'Ayyan Aufa bernafas di bumi Allah, dan hari ini tergerak hati ummi untuk menulis sedikit coretan detik-detik mengandung dan melahirkan 'Ayyan Aufa.
Bukan untuk apa.
Bukan untuk siapa.
Hanya supaya ummi akan sentiasa ingat yang semua ini tidak akan mudah jika tidak diizinkan Allah.
Juga agar ummi sentiasa panjatkan syukur pada Allah kerana hadiahkan 'Ayyan Aufa pada ummi dan abi.
(Disclaimer : Ini adalah entri yang sangaaat panjang, so bear with me yea?)
Mengandungkan 'Ayyan Aufa
Berita gembira
Berita gembira kedatangan 'Ayyan Aufa saya dan zauj terima pada awal tahun ini. Hati saya tergerak untuk membuat ujian kehamilan setelah rakan sekerja yang juga seorang bapa kepada dua anak lelaki melontarkan ayat "Nad, apesal nampak penat and pucat semacam je lately, are you pregnant?" Which of course saya menjawab "Haisyh, mana ada lah, takde pulak rasa penat sangat pun, nad kan memang pucat macam ni selalu.." Kemudian dia menjawab "Nad, my wife had been pregnant two times okay.." Saya tidak menjawab dan kami pun meneruskan pin-site dressing pada seorang pesakit. Ketika itu saya masih berada di posting ortopedik.
Positif. Zauj sangat gembira mengetahui bakal ada orang ketiga dalam keluarga kami. Saya masih ingat reaksi dan wajah zauj ketika saya menunjukkan keputusan ujian tersebut. Subhanallah, his expression was priceless. "Serious ke ayang?" Gembira bercampur antara percaya dan tidak percaya. Semoga Allah izinkan detik itu sentiasa berada dalam ingatan saya.
Proses yang dipermudahkan
Mengandungkan 'Ayyan Aufa adalah proses yang dipermudahkan Allah buat saya, Alhamdulillah. Tiada morning sickness. Tiada masalah antenatal. Perut pun tidak terlalu besar, jadi tiada limitasi semasa menjalankan tugas sebagai houseman. Cuma pada akhir-akhir tempoh mengandung, apabila uterus sudah membesar, saya mula mengah apabila berjalan terlalu banyak. Selepas minggu ke 36, saya memohon kepada team leader (dan juga atas nasihat MO OnG) untuk tidak diletakkan bekerja oncall. Pada waktu itu, saya berada di posting pediatrik dan ditempatkan di wad 7PA (wad gastroenterologi dan wad general) dan ketika oncall, saya diperlukan untuk menjaga wad 7PA, NICU, attend sebarang masalah akut pada bayi di postnatal ward (PNW) dan standby sebarang kes di operation theatre apabila dipanggil oleh pihak OnG. Terdapat 3 houseman yang oncall pada satu malam di jabatan paediatrik, masing-masing akan menjaga 2 wad - satu wad general dan satu wad subspecialty. Secara relatifnya, houseman yang menjaga 7PA dan NICU tidak mempunyai beban kerja yang terlalu banyak berbanding houseman yang lain, tetapi kekurangannya adalah kedua-dua wad ini terletak di dua bangunan yang berlainan. Wad 7PA terletak di tingkat 7 bangunan pediatrik dan NICU terletak di tingkat 1 bangunan wanita. Jadi bayangkan berapa banyak kali yang saya perlu berulang-alik di antara dua bangunan ini. Ini belum dicampur jika terpaksa attend bayi di PNW dan OT call. Jika saya tidak mengandung, mungkin ia tidak memenatkan, tapi dengan keadaan mengandung, ia sedikit mengah dan setiap kali postcall perut saya akan mengeras dan bayi juga kurang aktif. Alhamdulillah jumlah houseman mencukupi membuatkan team leader membenarkan saya tidak perlu untuk oncall selepas 36 minggu, jika tidak, tentunya saya perlu oncall sehinggalah melahirkan anak.
Rakan sekerja dan superior yang memahami
Saya tidak memberitahu kepada semua rakan sekerja yang saya sedang mengandung, saya hanya mengakuinya jika ada yang bertanya. Selebihnya rakan-rakan dan superior yang akan memberitahu sesama mereka.
Pada awal tempoh mengandung, saya berada di posting ortopedik dan saya mempunyai rakan sekerja yang sangat AWESOME dan memahami. Walaupun saya tidak meminta, mereka sendiri akan menghalang saya daripada kerja-kerja yang memerlukan saya untuk menapak kaki jauh.
Kemudian di posting kedua di jabatan surgeri, team leader meletakkan saya oncall kebanyakannya di wad sahaja. Jarang saya perlu melakukan 1st call dimana saya perlu attend kes-kes di jabatan kecemasan bersama medical officer, dimana ia memerlukan saya untuk berjalan ulang-alik daripada kawasan rhesus, AMC dan kawasan konsultasi. Pada waktu-waktu tertentu perlu juga ke bilik endoskopi yang terletak di bangunan lain, bagging pesakit ke CT scan room dan juga berlari-lari mendapatkan darah daripada tabung darah. Dan saya juga jarang ditugaskan untuk OT call kerana sesetengah pembedahan mengambil masa yang lama. Tetapi kerana merasakan nanti akan rugi kerana kurang pendedahan, saya request juga untuk membuat OT call setelah beberapa ward call.
Dan pada trimester ketiga, saya berada di jabatan pediatrik, yang pada saya beban kerjanya jauh lebih ringan berbanding di jabatan surgeri. Morning round yang tidak terlalu awal, tidak banyak scan yang harus direquest, tidak terlalu banyak referrals ke jabatan lain dan tidak sebanyak prosedur seperti di jabatan surgeri. Morning round di wad 7PA bermula paling awal pun jam 8.30 pagi memberi saya banyak masa untuk review pesakit. Berbanding di jabatan surgeri di mana sesetengah team memulakan morning round seawal 6.30 pagi. Jadi perlu datang lebih awal untuk review patient. Kemudian jam 8 saya akan cepat-cepat duduk di telefon bersama folder-folder pesakit yang perlu dirujuk ke jabatan lain. Sementara menunggu operator menyambungkan panggilan, saya akan gunakan masa tersebut untuk mengisi semua scan request form, kerana selesai membuat referrals, saya akan bergegas membuat request untuk scan. Pada waktu pagi, selalunya radiologist lebih berbesar hati untuk menerima request kita kerana belum 'diterjah' dengan houseman-houseman lain lagi. Haha. Alhamdulillah kekelam-kabutan di jabatan surgeri tidak saya rasakan di jabatan pediatrik. Sememangnya Allah meletakkan saya di posisi yang sesuai dengan keadaan kandungan saya pada ketika itu.
Superior juga baik-baik belaka. Saya masih ingat ketika di wad urologi, ketika morning round, pakar meminta saya duduk sambil tulis plan yang mereka beri, hanya kerana saya mengandung. Dan bukan sekali saya ditegur medical officer atau pakar di tengah jalan semasa saya hendak request scan. Kata mereka, lain kali suruh kawan-kawan lain yang buat, you duduk diam-diam di wad. Haha. Pernah juga saya ditegur kerana masih oncall di minggu ke 35 kehamilan oleh seorang registrar di jabatan pediatrik.
Yang penting, jaga amal
Bila mengandung ni, tentunya orang di sekeliling akan bertanya, dah siap beli baju baby? Berpantang kat mana? Nak bersalin kat mana? Dah beli breastpump? Brand apa? Dan macam-macam lagi soalan.. Ibu mengandung turut tidak tertinggal bertanya macam-macam soalan pada rakan-rakan yang lebih awal bergelar ibu. Tanya saya pada seorang rakan houseman, "Wina dulu buat tak pelvic exercise ibu-ibu mengandung? Nak ease delivery nanti.." Jawabnya " Dulu wina cakap kat zauj wina nanti dia kena tolong wina buat pelvic exercise,etc. Tapi dia jawab semua tu bukan yang paling penting. Yang paling penting jaga amal kita dengan Allah, insyaAllah Allah akan mudahkan proses bersalin." Dush!
Tidak semuanya indah
Walaupun tidak mempunyai morning sickness dan sebagainya, saya tetap merasai simptom-simptom seperti pening kepala, kekejangan kaki dan tidur yang kurang selesa. Pada trimester pertama, sakit kepala saya akan bermula sekitar jam 7 malam hingga 9 malam. Selepas pulang daripada bekerja. Tetapi sedikit kecewa kerana selalunya saya akan merehatkan diri apabila sakit kepala, menyebabkan saya terlewat atau terlepas daripada menghadiri usrah mingguan. Kekejangan kaki hanya saya rasai di trimester akhir kandungan. Bila kaki mula kejang, saya akan mengejutkan zauj di sebelah untuk mengurangkan kekejangan di kaki. Dalam keadaan mamai, dia akan bangun dan membantu mengurangkan kekejangan di kaki. Yang lawaknya, ada satu malam, alarm berbunyi di handphonenya, saya menggerakkan dia supaya dia dapat mematikan bunyi alarm tersebut, tetapi dia secara spontannya bangun dalam keadaan mamai dan memegang kaki saya untuk mengurangkan kekejangan, "Abang, kenapa pegang kaki ayang?". "Huh? Huh..." zauj menyambut. "Ayang kejut sebab nak suruh tutup phone, bukan sebab ayang cramp la". Tergaru-garu kepala dia. Haha. Kadang-kadang juga apabila pulang dari kerja, barulah terasa kepenatan yang amat sangat, tidak mampu untuk berdiri, duduk tersandar di katil sambil mengalirkan air mata kerana terlalu penat. Terasa sedikit loser bila zauj yang harus memasak makan malam untuk kami berdua. Terima kasih abang!
Saat melahirkan
Cuti bersalin
Pada awalnya, saya merancang untuk terus bekerja sehinggalah saya melahirkan anak. Tetapi semakin menghampiri due date, saya meminta pendapat zauj, dan mengambil keputusan untuk meminta cuti bersalin awal ( 2 minggu sebelum due date). Alasannya, kerana saya sudah berasa kurang produktif dan ini saya rasakan tidak adil buat rakan sekerja. Dan pada waktu itu ada berlaku sedikit shortage of houseman di jabatan pediatrik, jika saya masih bekerja dan tiba-tiba bersalin, saya akan menyebabkan rombakan besar pada jadual, kerana houseman lain perlu menggantikan posisi saya di wad. Jadi lebih baik saya get out of the roster dan team leader boleh menyusun tenaga kerja dengan sebaiknya. Maka pada hari Isnin, 22 September 2014, tepat umur kandungan 38 minggu, bermulalah cuti bersalin awal saya. I'm a happy girl!!!!
22 September 2014
Malam sebelum itu saya dan zauj bermalam di rumah mama kerana sudah lama kami tidak bermalam di sana. Awal pagi, ketika mama bertolak ke tempat kerja, kami pun bertolak pulang ke rumah sewa. Saya sudah mula bercuti dan zauj pula akan masuk syif pada jam 12 tengah hari di jabatan kecemasan. Sesampai di rumah kami berehat sebentar dan makan pagi seperti biasa. Saya menyuruh zauj berehat sebelum masuk kerja, sementara saya menyediakan makan tengah hari. Tekak saya teringin sangat untuk makan ayam masak kicap, jadi saya pun menyediakannya sebelum zauj bertolak ke tempat kerja. Selesai zauj menyiapkan diri, saya menemaninya makan. Saya tidak makan bersama kerana sedikit letih dan saya terasa seperti sakit sedikit di pinggang. Lagipun kami makan pagi agak lewat, perut saya tidak terlalu lapar lagi. Selepas menghantar zauj di muka pintu, saya mengambil keputusan untuk tidur sebentar sebelum masuk waktu zohor. Jam menghampiri 12 tengah hari. Harap-harap sakit pinggang akan surut selepas tidur sebentar. Jam 2 petang baru saya terjaga. Saya cuba untuk ke tandas tetapi badan terasa tidak sedap, dan perut saya terasa sedikit sakit seperti period pain yang selalu saya alami. Dalam cubaan untuk menggagahkan diri untuk ke tandas, saya tertidur semula. Jam 3 petang, saya terjaga semula dan merasakan satu badan berpeluh dan tiba-tiba saya rasakan sesuatu masuk ke dalam pelvic cavity saya. Pada masa itulah bermulanya sakit yang teramat sangat. Saya wonder, is this contraction pain? Saya cuba melihat jam, contraction every 2 minutes. Dan saya rasakan seperti hendak buang air besar sangat-sangat, cuma kali ini saya dapat rasakan ianya bukan buang air besar, saya rasakan seperti kepala baby sudah betul-betul nak keluar. Ya Allah! Saya seorang sahaja di rumah ketika itu.
Detik-detik mencemaskan
Cepat-cepat saya menghubungi zauj. Dialling. Voice mail. Dialling. Voice mail. Ya Allah, kenapa lah dia tak perasan phone pada waktu sebegini? Dalam kepala saya, apa aku nak buat ni, nak jerit panggil jiran sebelah ke? Kebetulan jiran saya adalah MO di jabatan kecemasan. Macam mana kalau aku terberanak seorang diri di rumah? Akibat terlalu sakit, saya terlelap semula untuk seminit sebelum contraction pain datang lagi. Akhirnya panggilan kepada zauj bersambung. Saya menceritakan keadaan saya dan menyuruhnya bergegas pulang. Sepanjang perjalanannya daripada hospital ke rumah, dia tidak membenarkan saya meletakkan telefon dan menyuruh saya terus bercakap dengannya. Tetapi saya tidak dapat bercakap sangat kerana menggunakan seluruh tenaga yang masih ada untuk menahan diri daripada meneran. Zauj sampai dalam keadaan yang sangat berpeluh, dia cuba memeriksa keadaan saya. Sah, dah show! Dia terus mencapai segala barang yang boleh, dan memakaikan saya jubah yang tergantung di almari. Dalam keadaan yang sangat lemah, saya katakan padanya "Abang sanggup tak sambut anak kat sini? Ayang tak tahan dah ni, baby nak keluar sangat-sangat". " Tahan dulu, jangan teran, selalunya primid akan ambil masa juga nak bersalin.. kat rumah takde barang, kita tunggu sampai hospital" kata zauj.
Tuhan saja yang tahu betapa sukarnya menahan diri daripada meneran. Setiap kali contraction datang, secara automatik saya rasa seperti hendak meneran. Perjalanan daripada bilik tidur ke pintu rumah, sehingga ke lif, sehingga ke kereta dan sehingga ke hospital terasa sangat lama. Di dalam kereta pula, tiba-tiba saya mengalami SROM (Spontaneous Rupture of Membrane atau lebih popular di kalangan masyarakat melayu sebagai pecah air ketuban). Tepat jam 4.05 petang, kami tiba di bangunan wanita dan kanak-kanak. Dengan bantuan wheelchair, kami terus ke PAC (pre-assesment clinic). Sesampai di PAC, saya ternampak senior saya di Moscow dahulu sedang bertugas. "Kak Jijah, nad rasa nak bersalin dah". Staff nurses (SN) di situ memberitahu zauj bahawa labour ward (LW) penuh pada ketika itu. Seorang SN menyuruh saya menukar pakaian dan naik ke katil. Saya betul-betul tak larat. Hatta untuk memindahkan diri daripada wheelchair ke katil. Bila contraction pain datang, saya fokuskan diri untuk tidak meneran. SN yang berada di situ cuba mengurut-urut perut saya bagi mengurangkan kesakitan. Ternyata sangat berkesan. Setiap kali contraction pain datang, saya memegang tangan SN tersebut dan menghalakannya ke perut saya. Haha. Orang lain nak pegang tangan suami la bagai, lain pulak saya. Dalam kesakitan, saya dapat menangkap nama SN tu, kak ina kalau tak silap saya. Semoga Allah memberkatinya kerana membantu saya yang dalam kesakitan ketika itu. Seorang SN lagi mengingatkan saya untuk memperbanyakkan membaca doa nabi Yunus. "La ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minazzhalimeen". Dalam pada masa yang sama, terdengar seorang SN berkata kepada saya, "Doktor, naik katil dulu, kita check bukaan, boleh kita call LW dan book katil". Zauj pun terus bersiap sedia untuk membuat vaginal examination. Belum pun sempat buat, terdengar zauj dan SN berkata " dah nampak kepala dah" " Okay, dr.nadzrul prepare untuk sambut" Kebetulan mereka mengenali zauj saya yang baru sahaja selesai posting di jabatan obstetrik dan ginekologi. Mulalah mereka memberi arahan kepada saya untuk berada di posisi yang betul. Sementara zauj pula siap sedia untuk menyambut anaknya sendiri. Kak Jijah pula set kan line pada tangan. Kebetulan MO oncall, Dr. Nasro baru sahaja turun ke PAC untuk melihat patient lain, terus dia mengarahkan agar set episiotomy diambil daripada LW, memandangkan set itu tiada di PAC. Dalam kekelam-kabutan itu, sempat lagi saya bacakan no. IC saya pada seorang SN kerana saya belum lagi register pada waktu itu. Apabila semua bersedia, saya pun diarahkan untuk meneran. Alhamdulillah setelah dua kali meneran, tepat jam 4.24 petang lahirlah seorang mujahid disambut sendiri oleh abinya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Sejak awal kehamilan lagi, zauj sudah berniat untuk menyambut anaknya sendiri. Anak kecil seberat hanya 2.52kg itu terus zauj letakkan di dada saya. "Ayang, anak kita.. " kata zauj dengan wajah terharu kegembiraan sebelum menghadiahkan satu ciuman kudus di dahi saya. Subhanallah, saya tak dapat terangkan perasaan saya ketika itu. Melihat anak yang sudah lama ditunggu, menangis di atas dada saya. Sempurna anak itu. Seketika kemudian zauj mengambilnya semula untuk diazan dan diiqamatkan. Sungguh takkan saya lupa pemandangan tersebut. Mengalir air mata syukur.
Selesai detik-detik yang mencemaskan itu, baru saya terasa keletihan yang amat sangat. Tapi rasa letih itu ditandingi perasaan lega kerana semuanya selamat, cepat, dan dipermudahkan. Rasa rindu untuk melihat semula anak yang ketika itu sedang dibersihkan. Baju pun belum sempat saya tukar, dalam jubah favourite saya itu jugalah saya melahirkan anak. Sehelai jubah hitam kosong yang saya beli di Syria pada hari tercetusnya Egyptian Revolution. Allah beri peluang bagi saya untuk melawat bumi Syria sebelum tercetusnya pergolakan di sana. Moga Allah hadiahkan kemenangan dan mempermudahkan urusan mereka di sana.
Saya kemudiannya dipindahkan ke LW untuk proses menjahit luka episiotomy. Kebiasaannya, sebelum ke LW, pesakit diminta untuk meninggalkan semua barang di antenatal ward. Tetapi di dalam kes express seperti ini, semua barang masih berada bersama saya, termasuk lah handphone. Disebabkan sebelumnya tidak sempat memaklumkan ibu bapa, saya dan zauj mula menelefon mereka seorang demi seorang. Semuanya terkejut tidak percaya. Abah saya sehingga tersasul membahasakan dirinya "saya" ketika bercakap dengan zauj. Kakak ipar pun merasakan seperti tidak masuk akal, kerana saya sendiri cukup kuat untuk menelefon dan memberitahunya sendiri, dan bila ditanya mana zauj saya, saya katakan padanya, zauj sedang bersiap sedia untuk menjahit luka episiotomy. "Korang ni buat bersalin macam main-main je, betul ke ni?"
Sebelum sempat zauj memulakan jahitan, datang seorang MO OnG, Dr. Zizi. Kami memang membuat antenatal check up dengan Dr. Zizi. Berita saya melahirkan anak sampai kepadanya ketika dia sedang melihat kes baru di wad ginekologi. Dia seperti tidak percaya kerana kebiasaannya sebarang masalah kami rujuk kepadanya. Setelah mengetahui berita tersebut dia terus bergerak dari wad ginekologi di menara utama ke LW di bangunan wanita. Sempat lagi dia memarahi zauj kerana mahu menjahit luka itu sendiri. Kami meminta maaf kerana tidak memaklumkan kepadanya kerana semuanya berlaku terlalu pantas. Akhirnya luka episiotomy saya dijahit oleh Dr. Zizi sendiri. Terima kasih Dr.Zizi. Pada saya sakit pada waktu itu lebih daripada sakit ketika bersalin. Atau mungkin ketika hendak bersalin itu, saya tidak sempat memikirkan tentang kesakitan, yang saya fikirkan adalah janganlah anak ini keluar sebelum sampai hospital, atau dalam medical termnya, BBA (born before arrival).
I am now a mother
Satu persatu ahli keluarga datang melawat. Apabila naik ke wad postnatal, zauj terus mengambil bayi kami dan diletakkan di sebelah katil saya. Apabila saya mendengar 'Ayyan Aufa menangis, saya cuba menyusukannya. Cuak juga kerana saya tidak tahu apakah ada susu atau tidak. Maha Suci Allah yang memastikan rezeki buat setiap makhluk yang bernyawa, 'Ayyan Aufa dapat menyusu susu ibunya. Alhamdulillah. Malam itu, zauj yang masih dalam kemeja kerjanya menemani saya dan 'Ayyan Aufa di wad, keadaan mengizinkan kerana kami ditempatkan di bilik perseorangan. Malam itu bermulalah kehidupan kami sebagai abi dan ummi kepada 'Ayyan Aufa : menyusukannya di tengah malam, dan menukar lampinnya. I know this is the beginning of many sleepless night, but nevertheless, I am so happy :)
Buat 'Ayyan Aufa, abi dan ummi ucapkan "Welcome to the world, sayang :)
After the delivery, still in my favourite black jubah. |
Ummi dan 'Ayyan Aufa.. okay, kali ni baju dah tukar, haha |
'Ayyan Aufa is sleeping ~ |
Cakk!! Dah bukak mata dah :) |
Hehe, senyum pulak :)) |
Dr. Doris yang semangat nak bedungkan 'Ayyan Aufa |
Akhawat houseman PPUM yang datang melawat 'Ayyan Aufa. |
Tamat.
Nadhirah Ahmad Fauzi
21 Oktober 2014
3 petang.
* A post that has taken me 2 days to finish off, writing in between nursing, burping, and putting baby 'Ayyan to sleep :) *
Comments
'Ayyan Aufa.. yes.. welcome to the world. Semoga menjadi anak yang soleh kepada ummi n abi.
from Tok Mama